Followers

Golongan jahil, lalai tidak tahu erti sebenar mensyukuri nikmat



MANUSIA menerima pemberian Allah dalam pelbagai bentuk. Anugerah ini sama ada kecil atau besar, sedar atau tidak, adalah nikmat yang harus disyukuri dengan hati ikhlas dan rasa keinsafan.

Hakikat ini harus diyakini dengan sebenar-benarnya oleh setiap Muslim seperti dijelaskan Allah bermaksud: “Tidakkah kamu memerhatikan bahawa Allah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan melimpahkan kepada kamu nikmat-Nya yang zahir dan yang batin?”[QS Luqman: 20]

Kalau kita renungi dengan mata hati dasar keimanan sejati, ternyata nikmat itu Allah terlalu banyak sekali, sehingga manusia tidak mungkin berupaya menghitungnya.

Allah mengulangi berpuluh kali pertanyaan yang sama kepada manusia dari awal surah sampai akhir surah: “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu ingkar?” Sebagai peringatan lantaran manusia memang sifatnya pelupa, bongkak dan tidak tahu mengenang budi akibat terpengaruh dengan ajakan nafsu dan syaitan Allah menjelaskan: “...dalam pada itu, ada di antara manusia orang membantah mengenai (sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah Yang menerangi kebenaran.” [QS Luqman: 20]

Memang Allah menganugerahkan nikmat-Nya kepada seluruh manusia, tanpa mengira apakah manusia itu ingkar dan kafir atau taat dan beriman kepada-Nya. Kita sebagai seorang Muslim hendaklah sentiasa bersyukur atas setiap kurniaan Allah dengan rasa rendah diri.

Dalam kitab Manhajul Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi membahagikan nikmat Allah itu kepada dua bahagian iaitu:


# Nikmat menjadi matlamat dituntut dan dicari iaitu kebahagiaan akhirat:

# Kekal yang tiada kebinasaan;

# Kegembiraan yang tiada lagi dukacita;

# Ilmu yang tidak disertai lagi dengan kejahilan;

# Kekayaan yang tiada lagi kefakiran selepasnya;

# Nikmat yang diingini dan dicari untuk sampai kepada matlamatnya;

# Kelebihan jiwa seperti iman dan akhlak yang baik;

# Kelebihan tubuh badan seperti kekuatan, kesihatan dan seumpamanya;

# Nikmat berkat dengan tubuh badan seperti harta, kedudukan dan kaum keluarga;

Sebab yang membawa kepada kelebihan seperti hidayah, bimbingan, pimpinan dan dokongan yang benar.

Sesungguhnya orang yang tidak ingin bersyukur adalah disebabkan faktor kelalaian dan kejahilan. Tidak mengetahui makna sebenar mensyukuri nikmat ialah menggunakan nikmat itu untuk tujuan asal penciptaannya (taat kepada Allah atau mengabdikan diri kepada-Nya).

Orang enggan bersyukur juga dianggap sebagai orang yang sombong, lupa diri dan kufur terhadap Allah SWT. Mereka ini dijanjikan Allah dengan seksaan api neraka di akhirat nanti.

Orang yang lalai daripada bersyukur seolah-olah tidak ingin memperakui semua nikmat dan kesenangan yang dikecapinya sekarang ini (pangkat, harta kekayaan, keamanan negara, tanah yang subur sesuai untuk bercucuk tanam dan sebagainya) datangnya daripada Allah.

Mereka beranggapan semua ini adalah hasil daripada kepandaian, kepakaran, usahanya siang malam dan penat jerih mereka sendiri. Misalnya ada seorang hamba yang dianugerahkan harta kekayaan yang banyak atau dengan lain perkataan hidup mewah, ia kedekut untuk mengeluarkan sedikit daripada harta kekayaannya untuk orang yang lemah dan sangat memerlukan bantuan.

Beginilah gambaran sikap buruk orang yang jahil dan dengan kejahilannya itu ia enggan bersyukur kepada Allah.

Bersyukur kepada Allah bukanlah hanya semata-mata melafazkan ucapan ‘alhamdulillah’ kemudian itu selesai seperti difahami segelintir manusia. Bersyukur kepada-Nya boleh dilakukan dengan pelbagai cara mengikut kemampuan dan kesanggupan seseorang.

Orang yang ingkar dengan nikmat Allah, tidak mahu bersyukur, Allah umpamakan sebagai binatang ternakan bahkan lebih sesat lagi dan di akhirat nanti akan menjadi penghuni neraka jahanam.

1 comments:

setuju.. syukur boleh kita aplikasikan dengan pelbagai cara.. :)

Post a Comment